KUCHING: Kerajaan akan merangka satu kajian untuk proses pengkorporatan pihak berkuasa pelabuhan sedia ada sebagai langkah mempersiapkan wilayah ini menguruskan pelabuhan-pelabuhan di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kajian ini bertujuan meneroka model lestari yang akan meningkatkan kecekapan operasi, menarik pelaburan dan mengukuhkan kedudukan daya saing pelabuhan Sarawak.
“Kajian ini dijangka selesai menjelang suku keempat 2025, menyediakan pelan tindakan untuk tadbir urus dan strategi operasi pelabuhan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan kementeriannya pada hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.
Menjelas lanjut, beliau memberitahu Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Pelabuhan Sarawak 2024 berjaya dibentangkan dan diluluskan di DUN pada Mei lalu.
Ini menandakan langkah penting menuju struktur tadbir urus pelabuhan yang bersatu dan berpusat untuk wilayah ini, katanya.
Sementara itu, Uggah memberitahu, Kerajaan Sarawak kini sedang bergerak agresif menuju pemindahan sepenuhnya Pelabuhan Bintulu dari Kerajaan Persekutuan.
Ujarnya, ia satu pencapaian penting yang akan memperkukuhkan kawalan negeri ke atas aset maritim yang kritikal.
“Proses ini yang dijangka selesai pada penghujung tahun ini menandakan langkah penting dalam visi strategik kerajaan untuk menggabungkan rangkaian pelabuhan Sarawak di bawah satu pihak berkuasa yang bersatu,” jelasnya lagi.
Menurut beliau, setelah berada di bawah bidang kuasa Sarawak, Pelabuhan Bintulu akan menyertai kluster pelabuhan sedia ada di negeri ini, membolehkan pendekatan yang sistematik dalam tadbir urus pelabuhan dan pembangunan infrastrukturnya.